Wednesday, July 21, 2010

Hidup yang berputar 180 darjah dalam masa 30saat

Sebenarnya peristiwa ni dah hampir 1 tahun berlaku, dah nak dekat anniversary dah... tapi, benda ni ditulis hampir 3 minggu selepas gempa. kira masih fresh lagi la waktu tu. sebenarnya peristiwa ni tak payah tulis pun tak apa, sebab i can see it vividly in my mind. sangat2 detail. apapun, kerana peristiwa ini, kami perlu kuatkan semangat untuk membangun hidup baru. bukan sahaja untuk pelajar2 malaysia di padang, indonesia, juga warga indonesia padang sendiri. selamat menghayati cerita ulang dari kedua mataku:

Tarikh 30 September 2009 sememangnya akan menjadi suatu tarikh yang akan diingati oleh semua orang yang berada di padang pada ketika itu. Jam menunjukkan pukul 5.05 petang sewaktu saya baru bangun dari tidur. hari itu terasa penat sekali meskipun hanya ada satu kuliah.Pada mulanya aku bercadang untuk pergi membeli pembalut buku dan whiteboard marker di Toko Buku Sari Anggerik.Lalu aku menghantarkan mesej kepada kawanku, PJ untuk mengembalikan motorku yang dipinjamnya tengahari tadi. Tetapi, aku terasa hendak mandi terlebih dahulu. jadi, jika aku masih mandi, tunggu saja aku di ruang tamu. mesej itu diterima PJ.
Dengan malas aku bangun dari katil dan mengecas hp nokia N97ku dan membuka lap top untuk mengecas iPod pula. Saya pun masuk ke bilik mandi.

Ketika aku membuka paip untuk membasahkan kepala, dengan syampu yang sudah kuletakkan di atas rambut, tiba-tiba terasa gegaran. Pada awalnya aku beranggapan itu hanyalah gempa minor yang biasa terjadi. Tetapi sangkaanku meleset. Gegaran itu makin kuat dan dengan cepat aku mengenakan tuala dan membuka pintu bilik mandi. aku sebenarnya juga berfikir adakah aku perlu keluar dari rumah dalam keadaan hanya bertuala. Tetapi gegaran itu sangat kuat dari biasanya hingga aku tidak boleh berdiri dengan stabil. Dan mungkin juga kerana aku sedang berada di tingkat 2, gegaran itu sangat terasa.aku bergegas menuruni tangga. aku boleh mendengar bunyi kaca pecah & bunyi barang-barang jatuh.

Sampai di tangga yang kedua, aku tergelincir dan jatuh sampai ke tingkat bawah. Gegaran masih terjadi ketika itu dan belum sempat aku berdiri semula, almari yang besar berdekatan pintu keluar jatuh tepat di sebelahku. Ketika itu takutnya aku hanya Allah yang tahu. Ketika itu aku boleh mendengar suara kawan-kawanku memanggil-manggilku diluar, menjerit menyuruhku keluar. Dalam keadaan takut dan terkejut, saya seperti mati hidup semula dan bergegas meluru ke pintu dan cuba membukanya.

Ternyata pintu itu terkunci. aku terlupa bahawa pintu rumah kami itu adalah automatic lock.Mujur fikiranku masih waras. kubuka kuncinya dan amat terkejut lagi apabila membuka pintu.Bahagian bumbung yang tepat diatas pintu itu baru sahaja runtuh. aku tahu ianya baru sahaja runtuh kerana habuk-habuk simen masih berterbangan. aku bertambah kaku apabila melihat motor Nadia & Lisa sudah rebah dihempap kayu & batu-bata yang runtuh. Ada 2 orang teman serumahku, aku tidak begitu ingat siapa kerana ketika itu aku sangat terkejut, menyuruh aku cepat beredar dari situ. Tidak tahu dari mana datang kekuatanku untuk melompat hampir 2 meter melalui motor-motor yang rebah dan runtuhan tadi.

Kak Fiza, teman serumahku, terus memelukku dan kemudian aku terus jatuh terjelepok tidak berdaya untuk bangun lagi. kaki saya terasa amat lemah. ketika itu aku boleh mendengar suara beberapa jiranku menangis & melaungkan azan.

PJ baru sahaja tiba dengan membawa motorku menunjukkan reaksi yang amat terkejut melihat keadaan kami dan juga rumah kami. Setelah memastikan keadaan benar2 selamat, Nadia orang pertama masuk ke dalam rumah. aku juga turut menyusul biarpun terasa amat berat untuk melangkah. otakku sempat berfikir untuk menyarung kasut terlebih dahulu kerana sudah pasti banyak kaca pecah bertaburan di lantai. keadaan ruang tingkat atas kelihatan tidak terkendali. meja solek yang besar & berat, pada mulanya berada betul2 di tepi dinding sudah beranjak ke tengah. sewaktu itu aku sempat membayangkan betapa besar SR gempa tadi.

aku seperti orang tidak waras apabila pintu bilikku sukar untuk dibuka. pintu bilik Jas pula, lagi susah untuk dibuka. aku berjaya masuk tapi masih was-was takut gempa selingan terjadi. kulihat bilikku seperti diserang pengganas. nasib baik laptop ku jauh dari almari baju. nasib tv ku tidak baik. dia terhempap almari pakaian. dengan cepat, aku mengambil paspot, duit, handphone dan pakaian dalam. fikiran tidak menentu membuatku tidak terfikir lagi untuk mengambil apa. yg penting paspot sudah ada dalam genggaman.

aku berada di atas hanya lebih kurang 3 minit. aku bergegas turun ternyata aku lupa untuk mengambil baju. kerana aku tubuhky sedang tersarung baju nadia. kak fiza lantas meminjamkanku seluar. dia tidak mahu aku naik semula ke atas. kami cepat2 meninggalkan rumah dan menuju ke jalan besar. biasanya pelajar2 malaysia sudah berkumpul di fakultas pada ketika ini. aku naik motor bersama PJ. PJ pula sedang risau akan teman2 serumahnya. paspotnya ada pada sukhi. aku berkeras supaya PJ tidak perlu pulang lagi ke rumahnya kerana takut bahaya yang mendatang.

jalan besar sudah dipenuhi orang yang berpusu-pusu untuk melarikan diri. ke mana, aku juga tidak pasti. akan tetapi, biasanya mereka akan pergi ke tempat tinggi kerana takut bahaya tsunami. jalan begitu sesak sehingga susah untuk dilalui. untung saja kami menaiki motor. disitu aku melihat rumah terbakar, orang2 cedera, hingga ada yang cedera melihatkan tulang2 kaki. aku sudah tidak mampu menangis. segera aku cuba menelefon mama di malaysia. aku memberitahu mama aku selamat tetapi barang2ku semua habis rosak. aku pasti mama risau kerana nada suaraku agak kelam-kabut. keadaan Jln Jati ketika itu seperti perang. orang menangis, meraung, berlari... oh, Ya Allah.

Ketika sampai di fakultas, aku sudah boleh menarik nafas lega. Nadia! mana Nadia! aku tercari-cari kelibat Nadia. pasti dia pergi ke Limau Manis, fikirku. Limau manis adalah tempat yang tinggi. semua orang mahu ke sana kerana takut ancaman tsunami. aku termanggu sendiri. tiba-tiba panggilan masuk. 'Milhan' oh, tahu juga dia yang aku sedang ditimpa musibah. dia menanyakan keadaan kami semua, Mat, Esan, Chan, Asip, Izzat, Ijat... alhamdulillah semua selamat. dia hanya mampu mengucapkan 'tenang' padaku. katanya, dia akan smsku untuk upadate2 seterusnya.

sememangnya gempa kali ini lebih dahsyat dari tahun 2007. aku memang tidak mampu mengeluarkan air mata. akhirnya Nadia tiba, benar sangkaanku, dia ke Limau Manis. kemudian dia berpatah balik apabila semua pelajar Malaysia diarahkan berkumpul difakultas. kami dikira satu2 dan berulang-ulang supaya memastikan kami cukup. cuma seorang tidak ada khabar, Felicia. kami semua masih tercari-cari.

keadaan semakin gelap. elektrik putus akibat gempa. kami semua terpaksa berjimat bateri hp kerana tidak ada tenaga elektrik untuk mengecas. hp emergencyku pula tidak kubawa. aku hanya sempat mengambil nokia N97 kerana hp itu baru kubeli tidak sampai 5 hari.

ketika itu kami dibawa ke rumah senior di Gunung Pangilun. tempat tersebut agak jauh dan menurut kata orang, tempat itu tinggi, insyaAllah selamat dari tsunami. kami menginap disitu seramai 350 orang pelajar. sempit, gelap dan lapar. tidak ada bekalan makanan dan minuman. kata mereka, pemerintah indo akan membantu. akan tetapi, aku tahu itu sudah lewat malam, tidak ada bantuan sampai. beberapa senior keluar mencari makanan untuk kami semua. nasib baik, ada generator. mereka mengeluarkan minyak petrol sedikit dari setiap buah motor yang ada, sebagai bekalan generator.

unggun api dihidupkan kerana keadaan sejuk, hujan renyai2, kemudian sedikit lebat. aku kurang mengeluarkan suara kerana aku masih shock dengan keadaan tadi. PJ dan Sukhi menyuruh aku duduk diluar sekali, kata mereka, selamat. aku akan menjadi orang pertama keluar jika terjadi gempa lagi. sesekali gempa kecil terjadi, membuatkan aku tidak boleh tidur. akhirnya aku tidur juga, tetapi sekejap saja, kemudian terbangun.ada sedikit bekalan makanan dan minuman. kami semua lapar dan dahaga. sama seperti pelarian perang. dugaan ini cukup besar bagiku.

apabila pagi tiba, ketika itu hujan. senior kami menyuruh kami mengemaskan barang apa yang patut untuk dibawa balik malaysia kerana pesawat hercules insyaAllah akan datang menjemput kami. aku agak hairan. pesawat hercules hanya akan dihantar kepada kami hanya apabila ada yang mati atau ada yang cedera parah. rupa-rupanya Felicia yang kami cari-cari telah cedera parah. aku bersimpati. kata mereka dia dihempap dinding yang runtuh apabila cuba menyelamatkan anak tuan rumahnya. mudah-mudahan dia selamat.

kami balik ke rumah masing2. dalam perjalanan, aku boleh melihat dengan jelas ketika ini, jalanraya yang retak, rumah2 dan kedai2 yang roboh. menyedihkan sekali. aku sangat2 tersentuh.

Sesampai dirumah, kami mengemaskan apa yang patut. aku hanya memberus gigi kerana bekalan air juga terputus. kata jiranku, paip2 bawah tanah pecah akibat gempa. Ya Allah, begitu berat dugaan yang Kau berikan kepada umatMu di padang ini.

dipendekkan cerita, kami menunggu pesawat hercules tiba dari 12 tengahari hinggalah 1 pagi. kami bertolak dari fakultas pada pukul 7 malam dengan menaikan van2 yang disediakan oleh pemerintah padang. kami bersyukur, ada juga yang peduli akan keadaan kami. kami masih boleh melihat kerosakan sepanjang jalan ke lapangan terbang.

sampai dilapangan terbang, kami terpaksa menunggu lagi kerana pihak berkuasa tidak membenarkan pesawat hercules malaysia mendarat. kami sudah tidak tahu hendak berbuat apa. semoga Allah memperlancarkan urusan tersebut.

akhirnya, pukul 1 pagi waktu indonesia barat, kami bertolak juga dari padang menuju ke malaysia. aku tertidur sepanjang perjalanan meskipun bunyi enjin pesawat sangat kuat sekali. sampai di lapangan terbang tentera udara yg aku tidak ingat lokasinya di mana, aku terasa ingin sujud kerana masih diberikan peluang untuk memijak tanah Malaysia.

No comments:

Post a Comment